Thursday, April 29, 2010

PENGASINGAN

Gerabak komuter wanita dapat reaksi positif

KUALA LUMPUR 28 April - Aksi seorang lelaki yang pura-pura berdiri dan bersedia untuk keluar ketika dimaklumkan dia tersalah memasuki gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter telah mencuit hati pengguna yang turut berada dalam koc yang sama.

Gelagat terpinga-pinga Ong Chow Kent, 25, bermula setelah dia diserbu sekumpulan wartawan yang terkejut apabila melihat terdapat seorang lelaki dalam gerabak itu yang sepatutnya dinaiki oleh golongan wanita.

"Saya memang mengetahui tentang gerabak khas ini tetapi tidak tahu gerabak yang mana satu. Mungkin sebab saya tidak menyedari adanya pelekat-pelekat yang ditampal di gerabak ini.

"Namun apabila saya masuk ke dalam gerabak, saya mula menyedari yang saya sahaja penumpang lelaki dan saya tidak boleh buat apa-apa kerana komuter sudah mula bergerak," katanya.

Namun, katanya, usaha pengasingan gerabak ini memang baik dan wajar diteruskan kerana ia mampu menjamin keselamatan dan keselesaan kepada pengguna wanita.

Gerabak khas wanita KTM Komuter yang mula diperkenalkan hari ini, merupakan inisiatif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada golongan itu daripada risiko gangguan seksual.

Pemangku Pengurus Besar KTMB, Mohd. Hidir Yusoff berkata, langkah mewujudkan gerabak itu dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima menerusi kajian yang telah dilakukan oleh KTMB.

"Mengikut kajian yang kita lakukan selama seminggu, didapati 60 peratus pengguna komuter adalah wanita.

"Justeru, melalui kajian itu, KTMB berasa perlunya diwujudkan satu gerabak yang dikhaskan untuk mereka sebagai langkah mengurangkan rasa ketidakselesaan apabila tiba waktu puncak ketika menggunakan perkhidmatan ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi memudahkan penumpang mengenal pasti gerabak tersebut, KTMB telah menampal pelekat khas di tingkap, pintu dan di dalam tren gerabak.

Tambahnya, selain pelekat tersebut, penumpang juga boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian gerabak itu melalui kain rentang yang dipamerkan di landasan dan tiang berwarna merah jambu.

"Gerabak ini berada di tengah di antara ketiga-tiga gerabak dan boleh digunakan oleh pengguna wanita sepanjang masa termasuk pada waktu cuti umum dan hujung minggu," katanya.

Dalam pada itu menerusi tinjauan yang dilakukan, rata-rata pengguna perkhidmatan komuter yang ditemui menyokong inisiatif yang dilakukan oleh KTMB itu.

Seorang pengaturcara komputer, Faradilla Khudri, 28, berkata, pengasingan yang dilakukan oleh KTMB itu wajar diberi pujian kerana memahami kehendak pengguna wanita.

Menurutnya, dengan adanya pengasingan seperti itu, pengguna wanita akan berasa selamat kerana tidak lagi perlu berasa bimbang sekiranya terpaksa berhimpit-himpit ketika menggunakan perkhidmatan itu pada waktu puncak.

"Pengasingan ini sangat praktikal untuk wanita yang berseorangan dan ia juga bagus untuk wanita yang mengandung kerana ia selesa dan selamat untuk kami," katanya."

Sementara itu, seorang jururawat, Nancy Ruby Ganapiagasam, 22, berkata, dengan adanya gerabak itu, golongan wanita mampu menarik nafas lega kerana tidak lagi perlu berasa risau akan keselamatan mereka.

"Dulu bukannya keselamatan kita tidak dijaga, tetapi sekarang ia lebih terjaga kerana tidak perlu lagi bersesak-sesak dengan pendatang asing yang gemar mengambil kesempatan," katanya.

Dalam pada itu menurut mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Amiruddin Nordin, 24, gerabak khas itu sememangnya perlu diwujudkan untuk mengelakkan masalah gangguan seksual terhadap wanita.

"Dalam keadaan yang sesak dan terpaksa berhimpit-himpit, semua orang akan berasa tidak selesa apatah lagi bagi pengguna wanita.

"Oleh itu dengan adanya gerabak ini, diharap ia mampu memberikan keselesaan dan menjamin keselamatan wanita daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_12.htm

memang sepatutnya diasingkan tempat duduk lelaki dan perempuan dalam komuter tu dan juga tempat2 awam lain. dalam Islam sendiri pun dah suruh asingkan tempat tidur bagi anak2 lelaki dan perempuan kerana takut berlaku perkara2 yang tidak sepatutnya. inikan pulak lelaki dan perempuan yang bukan mahram lagilah patut diasingkan.

saya pernah juga naik komuter ni. memang suasananya agak sesak dan ditambah pula dengan adegan percampuran lelaki dengan perempuan memang agak menyulitkan terutama bagi yang beragama Islam. biasanya dalam komuter ni semua bangsa ada, melayu, cina, india dan bangsa2 lain pun kadang2 ada. kalau yang naik tu amoi2 cina, alamaknya kena tutup matalah sebab pakaian diorang seksi2. apatah lagi kalau kita duduk dekat dengan mereka, berpaling ke kanan nampak pompuan seksi, paling ke kiri pun nampak pompuan seksi juga. kalau diikutkan memang kena pejam mata sepanjang berada dalam komuter ni.

lepas tu ada juga keadaan dimana terpaksa berhimpit2 tak kira lelaki atau perempuan. masa nilah ramai yang ambil kesempatan terutamanya lelaki2 miang yang suka menggesel badan dan meraba.langkah pengasingan ni memang wajar, cuma kalau suami isteri atau keluarga macam mana pulak? takkan isteri duduk dalam koc lain, suami dalam koc lain? tidakkah ini akan menimbulkan masalah lain pulak? atau kena buat koc special pulak untuk pasangan suami isteri dan keluarga?


Wednesday, April 28, 2010

MEMBACA JAMBATAN ILMU


Hari ni saya pergi ke Pesta Buku Kelantan yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Padang Perdana, Kota Bharu. Pesta Buku ni dah 2 hari berlalu, mula pada 26hb (Isnin) sampai 2hb Mei (Ahahd)iaitu selama seminggu.

Saya pergi dengan bas sekolah beserta dengan murid2 yang dibawa oleh pihak sekolah ke sana. Saya dan 5 guru lain jadi pengawal lah untuk budak2 tu pergi kat Pesta Buku ni. Sebenarnya semalam (kelmarin-bahasa kelate) lagi saya berhajat nak pergi. tapi saya pergi masa balik sekolah tu tak ada tempat nak parking kereta. semuanya penuh sebab kat depan stadium pun ada buat expo pertanian. jadi orang agak 'sumat' dan sesak. saya pun ambil keputusan datang hari ni sambil bawa budak2 sekolah.

kami pergi jam 9 pagi, dan sampai kat sana dalam pukul 9.15 pagi, ambil masa 15 minit je perjalanan dari sekolah ke sini. memang ramai murid dan pelajar sekolah datang pagi ni bersama guru2 pengiring masing2.



dewan Jubli Perak ni bagi saya agak sempat dan tak berapa sesuai nak buat pameran atau jualan kat sini. dewan ni penuh dengan budak2, sampai nak berjalan pun susah. kat depan tu, ada pentas untuk pengacara dan juga penganjur. diadakan juga soalan kuiz untuk pengunjung menjawab. pagi ni soalan2 yang diberikan majoritinya dijawab oleh murid2 dari sekolah saya. bangga jugalah rasanya sebab anak2 murid saya berani dan bijak.(heheheh...)

saya berada dalam dewan tu lebih kurang 1 jam. lepas tu turn bawah nak pergi bayar buku yang dibeli. saya beli 1 je buku " Quran Saintifik" oleh Dr Danial Zainal Abidin. best gak buku ni, ia mengemukakan penemuan sains membuktikan kebenaran wahyu Allah dalam al-Qur'an. (siap promote lagi tu...)

saya turun saja kat dalam khemah bawah tu, MASYA ALLAH... ramainya budak2 nak bayar buku. bila dah ramai sangat tak jadi beratur dah. mereka semua ber'bulat' mengelilingi cashier nak bayar harga buku masing2. kat dalam ni pulak kipas tak berapa banyak, air-cond pulak macam tak berfungsi. keadaan sangat panas. budak2 tu termasuk saya dan guru2 lain dah berpuluh, sampai macam mandi peluh. siap boleh lap muka lagi.

saya beratur kat cashier untuk guru. kena beratur lebih dari setengah jam. saya beli 1 jebuku, tapi ada pulak guru sama sekolah minta saya tolong bayarkan buku dia juga. katanya dia nak pergi ambil hadiah untuk sekolah yang disediakan oleh pihak penganjur. terpaksalah saya memikul beban ni untuk sementara. dari 1 jadi 4 buku, termasuk 3 carta besar. Adoooi... lenguhnya!

lepas je bayar harga buku, terus keluar jam dah pukul 11.10 pagi. janji dengan budak2 tu pukul 10.50 pagi mesti tunggu bas kat luar tapi diorang pulak yang tunggu saya. nasib baik bas tak sampai lagi, kalau tak kena balik jalan kaki la... atau telefon cikgu lain datang ambik. huhuhu...

walau apapun puas hati la jugak hari ni dapat pergi kat Pesta Buku ni... kena baca la buku ni sampai habis kerana MEMBACA JAMBATAN ILMU!

Tuesday, April 27, 2010

TELATAH MANUSIA


Kisah Luqman Al-Hakim Berjalan Bersama Anaknya

Suatu hari Luqman Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor baghal, manakala anaknya pula mengikut dari belakang.
Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang yang berdiri di pinggir jalan pun berkata :
“Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap duduk menaiki baghalnya sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan kata-kata yang kurang sedap dari orang ramai maka Luqman pun turun dari baghalnya itu lalu diletakkan anaknya di atas baghal itu dan kembali berjalan.
Melihat yang demikian, maka sesetengah orang di pasar itu berkata pula :
"Sungguh biadab budak itu. Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki baghal itu."
Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang baghal itu bersama-sama dengan anaknya.
Kemudian sesetengah orang ramai pula berkata lagi :
"Lihat dua orang itu menunggang seekor baghal, alangkah siksanya baghal itu membawa beban yang berganda."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari baghal itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata :
"Ada baghal tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya :
"Sesungguhnya seseorang itu tidak terlepas dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tidak mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu."
Dikeluarkan oleh
begitulah sikap manusia. ada saja perkara yang tidak kena dimata mereka. setiap perkara yang orang lain buat mesti ada yang tidak kena pada mereka. setiap orang boleh memberi komen yang pelbagai. ada yang membina, dan banyak juga yang nak meruntuhkan semangat dan daya juang orang lain.

itulah hakikatnya makhluk yang bernama manusia. semua yang orang lain buat tidak sempurna di mata mereka. kononnya hendak mencari yang sempurna, sedangkan kesempurnaan itu adalah milik Allah. hanya Allah sahaja yang maha SEMPURNA. kita manusia, walaubagaimanapun usaha pasti ada cacat celanya.

sebagai contoh, sebelum ni cuaca di Kelantan agak panas. sampai ada yang merungut2 disebabkan cuaca panas ni. lepas tu 2-3 hari ni hujan. malangnya ada juga suara yang merungut kata hujan. kalau panas dikatakan tidak selesa sebab panas, rasa macam nak demam dsb. bila Allah turunkan hujan pulak dikatakan tidak selesa sebab jalan berselut, kotor, pakaian yang dijemur lembap dsb. itulah perangai manusia. sentiasa ada yang tidak kena... walhal hujan dan panas itu adalah kehendak Allah... tapi sampai Allah pun ada orang yang nak kritik...

MANUSIA!!! MANUSIA!!!

Monday, April 26, 2010

solat berjemaah itu lebih afdal dari solat seorang diri. solat berjemaah dapat pahala lebih dari solat fardi (seorang diri).

tapi, solat berjemaah pun ada kesulitannya. bayangkan anda sedang khusyuk solat tiba2 terdengar bacaan dari makmun lain dengan agak kuat. sudah pasti anda akan berasa sedikit gelisah dan tak puas hati. inilah yang berlaku kat masjid kampung aku. tiap kali pergi solat kat masjid, mesti ada orang tua tu yang bacaannya agak kuat. kalau dia tu tok imam tak apalah. ini dia pun makmun macam aku juga... macammana ni???

ada sorang lagi masih budak tapi tak berapa betul kepalanya. bacaan dia pun agak kuat2. kadang2 tu dia ikut bacaan imam, haru sungguh jadinya! abang dia yang sorang lagi macam tu juga, tak berapa betul. bila solat dia asyik tengok kat orang lain... musykilnya!



kadang2 bila pergi solat kat masjid aku tengok dulu yang nak duduk kat sebelah aku. kalau orang yang bermasalah macam diatas, aku ikhtiar cari tempat lain. kalau orang tu duduk disebelah kanan, aku pergi sebelah kiri, begitulah sebaliknya. kena ikhtiar tak mahu bagi solat kita terjejas dek perlakuan orang2 yang bermasalah tu. kalau terpaksa, barulah aku duduk sebelah org2 tu... tapi dalam hati (Ya Allah, tabahkan hatiku duduk sebelah orang macam ni...)

itulah perihal solat berjemaah kat masjid kampung aku tu. jemaahnya bolehlah sampai 3 @ 4 saf yang panjang. tapi makmunnya ada yang ok... ada juga yang tak ok. kesian...

cuma yang peliknya, membuatkan kadang2 aku terfikir orang bermasalah macam tu rajin pulak pergi solat berjemaah di masjid. orang yang nampak ok ramai lagi yang tak hiraukan solat berjemaah. bilal duk azan diorang sempat lagi main dam haji kat kedai atau mana2 wakaf. yang lain tu sibuk melepak dan bermain2 lagi. malu la kepada orang yang tak berapa sempurna tapi rajin solat berjemaah.

kenapa ramai yang tidak menyahut seruan azan bilal negajak pergi solat berjemaah? kenapa tak boleh tinggalkan sekejap pekerjaan kita (kalau yang ada kerja), atau tinggalkan terus perbuatan sia2 macam main dam tu. terus pergi masjid atau surau bila dengar azan...

AKU PUN NAK PERGI SURAU DAH NI... BILAL DAH AZAN... WASSALAM.

Monday, April 12, 2010

aku tertipu lagi...


2-3 hari lepas aku naik bas lagi pegi kl. aku naik bas T. semasa beli tiket penjual tiket tu cakap bas ni bas 1 tingkat dan dia bagi aku yang 1 seat. aku pun beli la sebab bas yang ada 1 seat ni selesa dan luas gak.

malam naik bas tu, aku sedikit terkejut sebab yang ada adalah bas 2 tingkat. minggu lepas dah kena, minggu ni pun kena lagi. bukan apa, bas 2 tingkat syarikat ni sempit. lepas tu takde seat 1, semua 2. yg hangin lagi tu brg kena punggah naik atas, barang yang boleh letak kat bawah bagi yg nak turun kat hentian Putra je. aku memang tak puas hati la malam tu... rasa betul2 ditipu oleh syarikat bas ni.


kalau sekali tu mungkin sebab bas yg 1 tingkat rosak atau masalah lain. tapi bila dah 2 kali jd mcm ni aku fikir memang bas ni nak cari untung lebih... TAMAK! mentang2 la ramai org naik bas dia sebab malas nak pergi kat stesen bas yg 1 lagi, agak jauh. tapi ingat, pengguna pun cerdik. jgn ingat kami ni rela menyerahkan leher untuk kamu perbuat sesuka hati.

kami naik bas ni pilih yang selesa dan luas, biar puas hati. kecualilah kalau dah terdesak sangat. sanggup syarikat bas ni tipu pelanggan. apa diorang ingat syarikat diorang saja yang boleh sediakan bas ekspress???. berlambak lagi bas lain yang boleh kami naik.

mulai minggu depan aku nak naik bas lain dah. aku nak ajar syarikat bas ni, customer is always right. pilihan lain masih banyak. kalau betul takde bas 1 tingkat, cakap terus masa org beli tiket tu. ini tidak, cakap bas 1 tingkat tapi yang datang bas 2 tingkat. lepas tu bertolak lewat pulak... bayangkan sampai lewat hampir 45 minit. sapa x hangin? kita datang pun berkejar2 takut terlepas bas, tapi diorang buat main2 je... (dah la malam tu motor pancit masa hantar kat stesen bas).

org yg tamak selalu rugi, ibarat anjing dgn bayang2... itulah yg akan jd pd syarikat ni kalau org lain pun sedar macam aku ni...

dek kerana tamak, nak gabungkan 2 bas menjadi 1, terimalah akibatnya nanti. xde org akan naik bas kamu... x selesa, menyeksakan, rasa lemas...

Tuesday, April 6, 2010

anak kecil SOLAT

semalam aku sempat memerhatikan seorang anak kecil solat disebelah ayahnya. ayahnya rukuk, dia pun rukuk, ayahnya sujud, dia pun sujud, begitulah hingga selesai solat. dalam memerhatikan anak kecil itu, kadang2 aku tertawa dalam hati. anak kecil tadi seboleh2nya mahu meniru perbuatan ayahnya. cuma kadang2 di beberapa rukun tertentu anak tadi tidak dapat meniru 100% perbuatan ayahnya.

jari kaki ayahnya dibengkokkan ketika sujud, tetapi anak tadi hanya membongkokkan jari kaki sebelah kanan saja. begitu juga bila ayahnya berada dalam keadaan iktidal, anak kecil tadi tidak berdiri lurus, kerana dia tahu lepas tu kena turun sujud pula. 'ralit' aku memerhatikannya.



teringat sebuah hadith Nabi yang mafhumnya lebih kurang berbunyi: ajarlah anak kamu solat pada usia 7 tahun ...... seawal usia 7, ataupun kalau ikut sekolah darjah 1 kita sudah disuruh oleh Penghulu kita supaya mengajar anak solat. betapa ibadat Solat itu amat penting dan amat berat sehinggakan perlu diajar sejak kecil lagi.

Solat itu tiang agama. manusia yang menjaga solatnya Insya Allah takkan mudah hanyut dan sesat dalam arus tipudaya hidup di dunia. Solat itu juga sebagai pendinding diri dari melakukan dosa dan maksiat. "innassolaata tanha 'anil fahsyaa'i wal munkar"

individu yang sentiasa menjaga solat pasti akan merasai ketenangan jiwa dan hidup tidak gundah gulana. walaupun dia tidak berharta berjuta, atau berkereta besar mercedes atau BMW malah Honda, namun jiwanya bebas merdeka dan mulia. hatinya sibuk dengan zikrullah, mengingati kebesaran Allah dan menginsafi kelemahan dan kehinaan diri.

Solat juga perisai diri dari terlibat dengan gejala sosial yang buruk, jahat dan hina. orang yang menjaga solatnya, takkan mudah terjerat dengan 'sundal'nya permainan dunia meliputi hiburan melampau ala barat dan satanism, kegiatan rempit jalanan kutu hina, lembah pelacuran menuju lubang neraka, perjudian merosakkan harta dan hubungan keluarga, minum arak mabuk kencing setan gondol dan pelbagai aktiviti2 'sundal' hiasan syaitan buat manusia supaya bersama2nya dalam neraka.

oleh itu, jagalah solat kita. ia hubungan antara kita dengan DIA... YANG MAHA ESA, YANG MAHA KUASA... kerana kita semua adalah hambaaaaaaaa!

Monday, April 5, 2010

BAYAR UNTUK KESELESAAN

Hari ni aku x sihat. sakit tekak, telinga dan demam. aku pergi klinik kerajaan nak dapatkan ubat dan juga MC. kalau ikutkan nak pergi klinik swasta je, tapi memandangkan majikan x berapa nak terima MC swasta aku pun pergilah jugak klinik kerajaan.

aku beratur nak daftar kat klinik jam 8 pagi. aku kira awal dah ni pergi klinik tapi kena beratur jugak. tunggu no naik pukul 9.30 pagi, dah sejam setengah aku tunggu. lepas dapatkan rawatan, minta MC. Tapi MC hanya doktor yang boleh bagi, yang rawat tadi MA saja, jadi dia suruh jumpa doktor kat bangunan sebelah, klinik ibu dan anak. aku pun pergilah letak kad kat situ dan tunggu lagi.

jam dah pukul 10.45 pagi, nama aku x dipanggil lagi. aku dah la x berapa sihat, kena tunggu lama lagi. aku pun buat keputusan drastik keluar dari klinik tu dan pergi ke klinik swasta. PERSETAN dengan klnik kerajaan tu... tunggu berapa banyak lama la nak dapat MC. masuk klinik swasta, jam 11. 15 minit kemudian dah siap bagi ubat. walaupun dikenakan bayaran RM28.00, tapi aku puas hati. ubat dapat cepat, MC pun dapat. samada majikan nak terima atau tidak, itu belakang kira. Yang penting aku nak balik cepat2 makan ubat pastu tidur.



itulah sedikit senario dalam kehidupan hari ini. untuk mendapatkan keselesaan dalam perkhidmatan kita terpaksa membayar lebih. jika tidak mampu atau tidak mahu membayar lebih, terimalah mutu perkhidmatan seperti diatas.

begitu juga dengan sudut2 lain kehidupan. contohnya, boleh dikatakan setiap rumah ada tv. untuk dapat lebih hiburan dalam televisyen kena melanggan astro, kalau tak tengoklah rtm, tv3, tv8 dan tv9 saja. kalau nak yg macam2 ada kena langgan astro. dalam astro pulak boleh langgan mcm2 pakej pulak.

pengangkutan pun begitu juga. kalau dari KB nak ke KL, boleh naik bas, kereta sendiri atau kapal terbang. kalau nak cepat cepat dan selesa kenalah naik kapal terbang. Tapi bersedialah untuk membayar nilai wang yang lebih. kalau naik bas atau berkereta sendiri pun boleh, tapi lambat sampai dan penat sikit.

begitulah kehidupan kita seharian. untuk mendapatkan lebih keselesaan dan kelegaan, kita terpaksa membayar dengan harga yang agak mahal dari biasa. kesianlah kepada orang yang kurang berada, hidup susah, mati pun harap2 jgnlah susah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...