Saturday, October 31, 2009

KELANTAN KE FINAL, MENANG 5-1 LAWAN PERLIS

Aku baru saja lepas tengok perlawanan bolasepak kat TV1, Kelantan lawan Perlis. Kelantan menang dengan 3-1 ke atas Perlis. malam Rabu lepas Kelantan menang jugak 2-0. jadi, Kelantan akan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia minggu depan bertemu dengan Negeri Sembilan yang menang ke atas Terengganu malam ni 3-1.

Syabas dan tahniah, aku ucapkan kepada semua pemain-pemain bolasepak Kelantan, juga kepada jurulatih, pengurus dan semua penyokong bolasepak negeri Cik Siti Wan Kembang .ini. 2-3tahun ini, Kelantan seakan mendapat suntikan semangat baru dalam arena bolasepak. Entah formula dan kata-kata motivasi apa yang digunapakai jurulatih dan pengurus keatas pemain-pemain bolasepak Kelantan hingga Kelantan berjaya ke final Piala Malaysia tahun ini.(Formula gaji banyak kot... hehehheheh...) Insya Allah, ku doakan semoga Kelantan akan berjaya membawa pulang Piala Malaysia tahun ini. Semoga doa-doa rakyat Kelantan yang lain juga senada dan seiring denganku.

Bersukan sememangnya diakui mempunyai banyak faedah dan kelebihan. antaranya, dengan bersukan badan kita akan menjadi lebih sihat. orang yang sentiasa bersukan biasanya dapat dibezakan dengan orang yang jarang bersukan. biasanya tubuh badan orang yang suka bersukan ini 'cantik'. badannya tidak gemuk dan berisi, tetapi tegap dan nampak gagah. keadaan ini menyebabkan orang yang sentiasa bersukan jarang mendapat penyakit berbahaya seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya.

bersukan juga dapat memupuk semangat persaudaraan dan persahabatan. teringat aku semasa zaman kanak-kanak dulu. selalunya pada waktu petang lepas asar, aku dan kawan-kawan sebaya yang lain akan bermain bola di padang. kalau waktu cuti sekolah lagi best. pagi petang asyik main bola. sebelum main tu kena buat gol dulu. pakat pergi ramai-ramai tebang pokok (tak ingat dah nama pokok tu) buat tiang gol. bila dah siap gol, terus main. kadang-kadang main sampai maghrib, sampai gelap tak nampak bola baru balik rumah. itulah syoknya main bola ramai-ramai zaman kanak-kanak dulu. kawan yang tak kenal pun jadi kenal sebab bola sepak.bila dah ramai-ramai main bola tu, rasa macam semua tu adik beradik... terlalu rapat dan terlalu akrab... alangkah bahagianya jika masa dapat diputarkan kembali ke zaman itu...

selain itu, bersukan ni juga dapat mengisi masa lapang kita. aku tengok budak-budak zaman sekarang ramai yang terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti ambil dadah, pil kuda, merempit tak tentu hala salah satu sebabnya sebab diorang ni takde aktiviti yang nak dibuat. sebab tu zaman kanak-kanak dulu jarang aku dengar kawan-kawan aku kena tangkap hisap dadah, makan pil kuda ke, merempit ke... itu semua tak ada zaman aku dulu. tapi sekarang, bersepah kes-kes dadah, pil kuda, ubat batuk dan rempit dikalangan remaja dan kanak-kanak pun....

menyentuh mengenai perlawanan boalsepak di tv1 tadi, bagi aku Perlis lebih menguasai bola. Tapi, diorang tiada penyerang hebat macam Farhan. aku tabik kat Farhan, dia buat hatrik malam ni 3 gol dia sorang sumbat. memang 'GOMO KELATE GOMO' sengoti Farhan ni. Pemain-pemain Kelantan yang lain pun best jugak. tahniah untuk anda semua... Walaupun Indera Putra tidak boleh diturunkan malam ni, tapi pemain lain terutamanya Farhan tetap tidak menghampakan peminat bolasepak Kelantan.

di sebelah Perlis pula, aku tak puas hati dengan sikap pemain no 10, Nizaruddin. dia nampak bersikap kasar dan tidak mesra dengan pemain Kelantan. Dia ni nampak emosi sikit sebab Perlis dah ketinggalan dengan Kelantan di awal permainan lagi. Walaupun begitu, bersikap Pro lah sikit... jangan terlalu emosi hingga berkasar dengan pemain Kelantan. Silap-silap haribulan lepas ni jumpa dengan penyokong Kelantan lebam biji mata dikerjakan... pahtu kata penyokong Kelantan ni panas baran.

Sebenarnya penyokong Kelantan ni panas baran bertempat. Ibarat kata pepatah 'Sarang tebuan jangan dijolok'. kalau dijolok emosi dan semangat orang Kelantan, kami akan bangkit mempertahankan diri dan maruah...Begitu jugak dengan insiden sebelum berakhir perlawanan tadi, kesian kat pemain Kelantan yang dilemparkan mercun tu. itu perbuatan penyokong Perlis sebab dia jatuh dekat dengan tempat duduk penyokong Perlis. Pengulas, Hasbullah Awang pun kata penyokong Pelris yang melempar mercun. Maknanya, bukan penyokong Kelantan saja yang tidak boleh mengawal emosi bila pasukan nampak nak kalah. Penyokong negeri-negeri lain pun macam tu juga. Tapi masalahnya, hanya penyokong Kelantan saja yang dilabelkan ganas, fanatik, tidak bertamadun dan sebagainya. walhal hakikatnya penyokong negeri lain pun serupo tulo jah...

Oklah, setakat ni dulu aku tulis pasal boalsepak ni. Moga-moga kita dapat mengambil iktibar dari perlawanan yang kita saksikan ini. MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA...

Friday, October 23, 2009

HADAPI STRESS ANDA


Setiap orang pasti akan menghadapi 'stress' atau tekanan. tekanan datang dalam pelbagai bentuk dan menyerang sesiapa saja. kanak-kanak berhadapan dengan tekanan apabila berlaku pertengkaran sesama mereka, ibubapa menghadapi tekanan ketika berhadapan dengan kerenah dan tingkah laku anak-anak, pekerja bawahan berhadapan dengan tekanan bilamana berurusan dengan 'boss' atau rakan sejawat, boss pun akan berhadapan dengan tekanan ketika menguruskan kerenah pekerja bawahan. pendek kata, dimana saja posisi kita pasti akan berhadapan dengan tekanan.

tekanan biasanya datang apabila kita menghadapi konflik dengan orang lain. kanak-kanak yang berebut sesuatu dan bergaduh dengan rakan sebaya akan menimbulkan tekanan, ibubapa yang berusaha mendidik anak-anak dan mengawasi disiplin serta akhlak mereka mengalami tekanan, pekerja bawahan yang dimarahi boss dan sentiasa didesak untuk menyiapkan sesuatu kerja dengan segera berhadapan dengan tekanan, boss yang ingin memantau dan meneliti mutu kerja pekerja bawahan juga berhadapan dengan tekanan.

setiap tekanan yang datang perlu diatasi. cara untuk mengatasi tekanan amatlah penting, kerana kalau tersilap cara pasti akan menambahkan lagi tekanan dalam hidup kita. justeru itu, ada beberapa tips untuk menghadapi tekanan yang perlu kita amalkan, iaitu :

1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulangkaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah diingati.

2) Perbanyakkan membaca Al-Quran
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab sepanjang waktu.

3) Banyakkan solat sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.

4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripadaNya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah Yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. InsyaAllah, Allah akan memakbulkan doa setiap hambaNya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Musibah berlaku selalunya juga adalah kerana kezaliman diri sendiri. Sentiasa bermuhasabah dan kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkatan bahawa badan cergas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah dengan mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

8) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. “Luaran lain hati lain” - ada sesetengah individu apabila mereka mengalami tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan itu. Sebagai contoh, bila dilihat bersama-sama rakan-rakan ‘cool’ sahaja, tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Menangis dan berkongsi masalah bersama sahabat yang dipercayai boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja.

9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuru oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup yang lebih ceria.

10) Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum mencintai diri orang lain”. Kita dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.

Kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.

dipetik dari : http://nurjeehan.wordpress.com/2007/04/27/tips-menghadapi-tekanan/

Tuesday, October 20, 2009

FENOMENA SEJADAH BERDIRI


Fenomena sejadah berdiri makin hangat diperkatakan. jika sebelum ini kita dikejutkan dengan fenomena ini berlaku di luar negeri Kelantan, tapi kebelakangan ini fenomena ini juga berlaku di negeri Cik Siti Wan kembang.

Terbaru, fenomena ini berlaku di SK Tok Sangkut, Pasir Mas pada jam 10.40 pagi hari ini, selasa(20/10/09). Khabarnya sebanyak 35 sejadah didapati dalam keadaan berdiri secara misteri. Adakah fenomena ini benar-benar berlaku secara misteri??? atau ada tangan-tangan nakal yang sengaja melakukannya untuk mendapat publisiti murahan??? WALLAHU'ALAM....

Walau apapun yang berlaku, kita sebagai umat Islam perlu mengambil iktibar dari kejadian ini. Mungkin Allah S.W.T. ingin memberi peringatan kepada kita semua supaya jangan abaikan solat. hari ini berapa ramai orang yang mengaku beragama Islam tapi tidak pernah menunaikan solat. berapa ramai juga dikalangan kita yang menunaikan solat tetapi solat kita itu masih tidak dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan fahsya' dan mungkar!!!!

Bagi orang2 yang berakal, pasti akan mengambil iktibar dari kejadian ini. Kita mesti fikir dan menaakul apa yang ingin diperingatkan oleh Allah S.W.T. melalui fenomena ini. Bagi yang belum timbul kesedaran untuk solat, insaflah!!! ambillah iktibar dari peringatan ini. Ubahlah cara hidup kita sesuai dengan tuntutan Islam. Tunaikanlah Solat, perbaikilah peribadi, dekatilah Allah... Nescaya Rahmah dan Hidayah Allah akan sampai kepada kita . INSYA ALLAH...

dipetik dari: http://wargamarhaen.blogspot.com/2009/10/gempar-35-sejadah-berdiri-di-surau-sk.html

Gempar 35 sejadah berdiri di surau SK Tok Sangkut Pasir Mas..!!

Warga SK Tok Sangkut di Pasir Mas gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat.

Kejadian itu disedari seorang murid yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya Adnan Abdullah, 37, ketika sesi pembelajaran dijalankan berhampiran surau berkenaan.

"Kejadian berlaku pukul 10.40 pagi, ketika saya menjalankan sesi pembelajaran di luar kelas disebabkan kelas sedang diubahsuai, seorang murid yang terpandang ke arah surau memberitahu sejadah kelihatan berdiri," katanya kepada pemberita di Pasir Mas hari ini.

Adnan berkata beliau kemudiannya membuka pintu surau dan amat terkejut melihat sebanyak 35 helai sejadah dalam keadaan berdiri iaitu 16 helai di bahagian lelaki dan 19 lagi di bahagian perempuan.

"Lebih aneh lagi apabila satu helai lagi berada di bahagian hadapan sekali iaitu di tempat imam dalam keadaan yang sama menunjukkan seolah-seolah sedang melakukan solat secara berjemaah," katanya yang telah mengajar di sekolah berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Menurut Adnan, beliau percaya kejadian itu membuktikan keagungan Allah yang mahu umatnya bermuhasabah diri.

"Bagaimanapun ia terpulang kepada tafsiran individu, bagi saya tak mungkin perkara ini dilakukan oleh manusia kerana tempoh semua sejadah dalam keadaan demikian lama," katanya.

Beliau berkata pada bulan Ramadhan yang lepas perkara yang sama turut berlaku di rumah penduduk kampung berkenaan apabila sehelai sejadahnya turut berdiri sendiri.

Manakala bagi pembantu penguasa pejabat agama Pasir Mas, Kamarudin Zakaria yang ditemui di situ berkata beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk menggemparkan penduduk setempat.

"Ia terpulang kepada tafsiran setiap individu untuk menganggap ia perkara ajaib atau sebagainya, tetapi bagi saya perkara-perkara sebegini boleh memesongkan akidah seseorang," katanya.

Kamarudin berkata pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan kepada jabatan agama dan jika sejadah masih dalam keadaan demikian sehingga esok, pihaknya akan mengambil tindakan yang perlu.

Sementara itu, kawasan sekolah berkenaan sesak dengan orang ramai yang ingin melihat kejadian itu dari dekat. BERNAMA

BILA NAFSU MENGUASAI DIRI

Setiap manusia dibekalkan oleh Allah Ta'ala dengan akal dan nafsu. 2 pemberian Allah ini perlu diguna dan dijaga dengan sebaik-baiknya kerana tersalah letak dan tersalah guna akan menyebabkan hidup kita sengsara.

Nafsu ibarat kuda liar yang perlu dilatih dan dijinakkan supaya ianya tidak lari dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain. Allah Ta'ala sengaja menjadikan nafsu di dalam diri manusia supaya manusia berusaha untuk mendidik nafsu mereka dengan nilai-nilai keagamaan dan tazkiyah diri dengan amalan-amalan ibadah menghambakan diri kepada Allah Ta'ala.

Nafsu juga boleh disifatkan sebagai laluan syaitan untuk melalai dan menyesatkan manusia. Ini kerana nafsu manusia boleh menjadi tamak haloba, hilang sifat kemanusiaannya hingga sanggup menipu, menyakiti, mencederakan, merogol malah membunuh.

Apabila nafsu sudah menguasai diri ibarat akal yang sudah di bawah pengaruh ganja. Hilang belas kasihan bila sudah gian hingga sanggup berbuat apa sahaja hingga mencederakan orang lain.Apabila nafsu berkuasa, maka peranan akal akan menjadi mengecut ibarat kata-kata Imam Al-Ghazali:"kalau nafsu menguasai akal maka hina manusia itu lebih daripada haiwan dan kalau akal menguasai nafsu maka mulia manusia itu daripada Malaikat."

Apabila nafsu menguasai diri, maka akan keluarlah berbagai cerita yang tidak elok seperti ayah merogol anak, guru mencabul murid, polis memperkosa gadis,anak membunuh ibu, adik beradik berbunuhan dan bermacam-macam lagi cerita buruk lantaran penangan nafsu yang tidak berjaya dikawal manusia.

Perlu diingat bahawa kita sejak kecil lagi sudah dibekalkan dengan nafsu, ada yang positif ada yang negatif. Nafsu perlu dididik sejak dari kecil, ibu bapalah yang patut memainkan peranan tersebut.Imam al-Ghazali pernah menyarankan agar anak-anak tidak dimuakan (manja) dengan kesenangan-kesenangan yang akan menggemukkan hawa nafsu. Sesekali biarlah anak-anak rasa sedikit kesukaran dalam kehidupannya.

Jangan pula berkata:"Biarlah, itukan budak-budak, nanti besar dididiklah". Ini pandangan yang salah, hakikatnya jika kecil payah dididik, bila remaja atau dewasa lagilah sukar. Ini kerana nafsu tua mengikut tuannya, lebih meningkat umur, lebih payah dibentuk dan dididik.

Oleh itu, ibu bapa sepatutnya memainkan peranan mendidik anak-anak menjadi individu muslim yang mantap. Cemerlang di dunia dan di akhirat. Fahamkan anak-anak sejak dari kecil mengenai nafsu jahat dan yang baik.

Biasakan anak-anak dengan tuntutan syariat seperti solat, puasa, bab aurat supaya ia menjadi suatu kebiasaan dan tabiat. Bantulah anak menahan nafsu yang negatif. Ini kerana, kegagalan mendidik nafsu anak-anak sejak dari awal, lahirlah manusia dewasa yang berbangga dengan maksiat dan kemungkaran yang dilakukannya tanpa secebis rasa kekesalan apa yang dilakukannya.

Zaman remaja adalah waktu di mana cabaran hawa nafsunya amat besar. Apatah lagi, dugaan dan godaan sekeliling amat hebat, dengan gadis-gadis yang menawan, pusat hiburan sana-sini, pengedar dadah bertebaran mencari mangsa, kekayaan dan kemewahan dengan cara salah, kecanggihan internet yang tidak bertapis dan macam-macam lagi.

Remaja yang tidak ada perisai iman dalam dirinya akan mudah tewas dan hanyut dengan gelombang nafsunya. Remaja yang berjiwa Islam akan membezakan perkara yang makruf dan yang mungkar.

Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi saw) berkata:"Binasalah orang yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar". Jangan nanti pula semuanya disapu, yang baik buat tapi yang mungkar tidak tinggal, jika begitu akan berlaku kecelaruan dalam hidup.

Senjata menghadapi nafsu adalah Islam, iman, akal dan ilmu. Sebagaimana kata-kata seorang cendekiawan Islam:"Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan nafsu sebagai tawanan, dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan".

Tepuk dada tanya iman, apakah iman kita mampu mengekang nafsu, atau kita hanya mengikut kata nafsu. Jika selama ini kita sering tewas dengan nafsu dan keinginan yang bertentangan dengan syariat, maka saat untuk berubah ada di depan mata.

Jika berasa sudah selesa dengan maksiat dan sayang meninggalkannya, anda dalam kerugian sebenarnya. Segalanya tidak sukar jika ada keinginan, tanya diri:"nak ke tak nak berubah?". Andalah jawapan segalanya.

Sunday, October 18, 2009

Dunia dah hampir nak Kiamat...

Dunia dah hampir nak Kiamat...

kejadian gempa bumi makin kerap berlaku. baru2 ini berlaku di Padang, ribuan manusia mati dan ratusan rumah dan tempat tinggal musnah. itu tidak termasuk dengan mereka yang ditelan bumi masih belum ditemui mayat mereka.

sebelum ini berlaku peristiwa Tsunami yang menelan korban mungkin jutaan nyawa manusia yang melanda Acheh, Sri lanka, Thailand dan juga negara kita sendiri, Malaysia. peristiwa seperti ini menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T. yang mampu dan berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. in araada syaian an yaquula lahuu 'kun fayakuun'.

terbaru, pakar geologi meramalkan satu gempa bumi raksasa bakal berlaku di pulau Sumatera dalam tempoh 30 tahun akan datang. berita seperti ini benar2 mengejutkan kita. bagi manusia yang beriman kepada Allah sudah pasti telah menyiapkan diri untuk menghadapi apa saja kemungkinan yang akan berlaku kepada dunia ini.

kita semua pasti akan mati satu hari nanti. cuma, malaikat maut tidak datang berbisik kepada kita memberitahu bila tarikh dan masa kematian kita. justeru itu, kita hendaklah sentiasa bersedia menghadapi apa jua kemungkinan saat kematian kita.

kejadian gempa bumi yang makin kerap ini seolah-olah menunjukkan kepada kita bahawa usia bumi kita ini terlalu tua dan lemah. bila2 masa saja bumi ini akan dihancurkan Allah Ta'ala.

Kadang2 bencana yang menimpa bumi ini adalah akibat perbuatan maksiat dan dosa manusia itu sendiri. kita kadang2 alpa dan lalai menjadi manusia beriman yang taat kepada perintah Allah Ta'ala. umat islam hari ini ramai yang Islam pada nama saja. tapi perangai dan akhlak tidak mencerminkan umat Islam yang sebenar.

berapa ramai dikalangan orang Islam yang tidak sembahyang, berjudi, menempah pelacur, berzina, derhaka kepada ibubapa, merompak, mencuri, menjadi mat rempit, peragut dan seribu satu macam lagi perbuatan maksiat dan tidak bermoral yang dilakukan. semua ini menjadi asbab kepada kemurkaan Allah dan menimpakan azab kepada kita di dunia.

Insaflah wahai manusia, kembalilah kepada Allah... kembalilah kepada Islam... kembalilah kepada cara hidup Islam yang memberi 'tiket' kepada kita untuk mencapai kebahgiaan di dunia ini dan juga kebahagiaan di akhirat nanti... INSYA ALLAH...

Petikan dari : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20091018002247/Article/index_html

SINGAPURA: Satu gempa bumi raksasa diramal melanda pulau Sumatera dalam tempoh 30 tahun yang mencetuskan tsunami gergasi sekali gus menjadikan gegaran bulan lalu pada skala kecil saja, kata seorang pakar geologi.

Selain itu, seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula berkata, perubahan cuaca dunia bermakna bencana alam pada masa depan adalah lebih besar dan kerap.


Gempa raksasa itu juga akan memakan masa lebih lama berbanding gegaran 7.6 skala Richter yang melanda Sumatera Barat pada 30 September lalu hingga meranapkan bandar Padang.

"Kami jangka gempa raksasa itu mencapai 8.8 skala Richter," kata Pengarah Pemantauan Bumi Singapura, Kerry Sieh ketika membentangkan pandangan pakar geologi di Universiti Teknologi Nanyang.

"Gempa itu juga akan berlangsung lima minit. Kekuatannya sehingga 7.6 skala Richter adalah kecil dibandingkan gempa besar," katanya. Gempa di Sumatera itu berlangsung 45 saat.

Angka korban rasmi adalah 1,115 sehingga Rabu lalu tetapi ramai lagi dipercayai maut selepas beberapa perkampungan tertimbus selain kira-kira 100,000 rumah musnah menyebabkan setengah juta penduduk hilang kediaman.

Katanya, gempa bulan lalu itu petanda gegaran lebih besar lagi berdasarkan catatan sejarah gempa selepas sampel terumbu karang dikaji.

Di Jakarta, Setiausaha Agung Rendah PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, John Holmes berkata, perubahan cuaca dunia bermakna taufan lebih besar, banjir lebih buruk dan kemarau lebih lama selain kebakaran hutan.

Holmes berada di Indonesia selama dua hari selepas gempa 30 September lalu turut memberitahu:

"Tengok trend perkara itu. Berapa banyak bencana sudah berlaku dan sejauh mana kesannya," kata Holmes yang juga Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB.

"Ada perkaitan antara perubahan cuaca dan bencana lebih kerap," katanya.

Saturday, October 10, 2009

MAJLIS HARIRAYA DI PAPN PUTRAJAYA

Malam semalam, aku sekeluarga pergi ke majlis Hariraya Aidilfitri anjuran Pusat Anak Permata Negara (PAPN) Putrajaya, di Putrajaya. Kami pergi jam 8.45 malam dan sampai di sana jam 9.15 malam. bila je sampai orang lain semua dah makan... maklumla kami sampai lewat. program bermula jam 9 malam, kami lewat 15 minit.

aku dan isteriku makan satay, mihun soto, roti jala dan buah. Imtiyaz pulak baik je malam tadi. dia tak menangis, duk diam je seolah2 tahu tempat orang ramai kena duduk baik2 dan jangan menangis. matanya asyik tengok kat orang yang lalu lalang dan sesekali melihat ke arah lampu kat atas.

aku datang majlis ni sebab isteri aku kerja kat PERMATA dan dia ditugaskan memantau PAPN di Putrajaya ni. so, pihak PERMATA telah menjemput dia dan keluarga untuk sama2 memeriahkan majlis tersebut. kani datang pakai pakaian biasa je... orang lain semua pakai pakaian hari raya. rasa segan jugak... tapi terpaksalah masuk jugak majlis tu... alang2 dah sampai. lagipun boss isteri aku dah ada duk makan dengan pegawai2 lain. aku sekeluarga makan kat meja lain.

sebelum habis program tu, ada sesi penggambaran untuk semua ibubapa, pendidik dan pegawai2 PERMATA. So, isteri aku join sekali. aku tengok dari jauh je. tapi, sebelum balik tu sempat juga ambil gambar sekeluarga kat sana....

Monday, October 5, 2009

STESYEN BAS JALAN HAMZAH DAH TUTUP... PINDAH TEMPAT LAIN

Hari ni, jam 2.15 ptg aku ke stesyen bas Jalan Hamzah nak beli tiket ke Kajang malam jumaat ni. Sampai je kat stesyen bas tu, aku tengok semua kaunter tiket tutup. heran jugak... diorang ni tak buat bussiness ke hari ni???. aku terus pergi ke kedai kat tepi stesen bas, tanya pakcik tu.. pakcik tu bagitahu stesen bas dah pindah ke kawasan baru berdekatan dengan pasaraya Tesco.

aku terus pegi kat sana... pusing2 jugaklah nak cari kat mana stesen bas ni. akhirnya sampai jugak... kawasan baru ni dihujung jalan... atas lagi dari Tesco tapi kat kawasan luas tu jugak. ingat nak beli tiket bas ekspress Transnasional, tapi kaunter dia tak siap lagi. kena beli kat stesen bas bandar Kota Bharu atau kat Jalan Langgar. aku malas nak pegi sana pulak... boring jalan 'jem'. So, aku beli je tiket bas SANI. Bas SANI pun ok gak...

mungkin diorang pindahkan stesen bas ni kesini untuk elakkan traffic jam kat bandar Kota Bharu ni macam yang aku rasa masa hantar adik naik bas seminggu lepas raya hari tu... apa-apapun banyak perubahan berlaku kat Bandar Kota Bharu semenjak 2 menjak ni...

Thursday, October 1, 2009

RIBUT LUAR BIASA DI KELANTAN

Semalam, 30/9/09 (rabu) lebih kurang jam 3.30 petang satu kejadian ribut yang luar biasa berlaku di beberapa daerah di Kelantan termasuk di Kota Bharu. ribut ini telah menyebabkan berlaku banyak kerosakan kepada rumah-rumah kediaman penduduk. apa yang menyedihkan ribut ini juga telah mengorbankan nyawa seorang remaja perempuan di pantai Kemayang, Bachok.

pada masa tu, aku sedang berada di bilik. baru je nak ber'interaksi' dengan laptop ni, tiba2 angin dan hujan datang dengan kuat. aku tengok di luar jendela ribut sangat kuat hinggakan pokok kelapa bergoyang2 macam nak tercabut. pokok2 lain juga bergoyang kuat sampai ada yang tumbang dan patah.

semasa ribut tu, aku dengar bunyi zink macam nak tercabut. aku jengok ke zink atas di tempat jemur pakaian, beberapa keping zink dah tercabut pakunya.... tunggu masa nak diterbangkan je. 'kelekang-kelekang' bunyi kuat zink tu berlaga dengan kayu pemegang. aku nak masuk dekat takut zink tu tercabut kena atas aku tak pasal2 masuk sepital.

setengah jam lepas tu, mak sedara aku(yam) datang bagitahu anak dia Marini luka di kepala kena "perabong" zink. aku cepat2 dengan pakai kain sarung terus bawa Marini ke klinik daerah Badang. masa sampai tu ada dah beberapa orang yang cedera akibat ribut kuat ni termasuk seorang perempuan yang tengah mengandung ditimpa buah kelapa atas kepala. dia terus dibawa ke hospital besar. sepupu aku ni nasib baik luka ringan je... H.A. sapu ubat di kepala dan bagi suntikan je... lepas tu terus boleh balik.

inilah pertama kali aku melihat ribut yang kuat di Kelantan ni... kat bawah ni aku 'paste'kan bersama laporan dari berita harian pasal ribut ni...

Remaja perempuan maut, 6 jajahan dilanda ribut luar biasa

KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan maut ditimpa pokok manakala ratusan rumah rosak teruk akibat dilanda ribut luar biasa dan hujan lebat hari ini berikutan hampirnya musim tengkujuh yang melibatkan tujuh jajahan di negeri ini yang berdekatan kawasan pantai.

Dalam kejadian selama hampir sejam itu, puluhan kereta rosak dan kemek akibat dahan-dahan pokok yang patah, barang-barangan ringan berterbangan termasuk kerusi dan tong sampah serta papan tanda jalan runtuh di sekitar bandar Kota Bharu, Pengkalan Kubor, Pasir Puteh, Kuala Krai, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok.

Kejadian ganjil yang pertama pada tahun ini, turut mengorbankan seorang remaja perempuan, Nurul Ain Ibrahim, 19, ditimpa sebatang pokok yang patah secara tiba-tiba ketika ia cuba mencari tempat berteduh daripada ribut di Pantai Kemayang, Bachok.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saiful Bahari Mohd Nor berkata, mangsa berada di dalam kedai makan dan cuba untuk melarikan diri apabila ribut kuat melanda.

"Ketika kejadian kira-kira 3.40 petang tadi, mangsa sedang berselindung bersama teman lelakinya, Zamri Mustafa, 24, di sebuah kedai makan di pantai terbabit sebelum tiba-tiba ribut luar biasa melanda kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Saiful Bahari berkata semua pelanggan di restoran itu lari bertempiaran menyelamatkan diri jauh dari kawasan kedai makan itu termasuk teman lelaki mangsa, bagaimanapun mangsa hanya lari dan berteduh berhampiran kawasan kedai terbabit.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya berlari mencari tempat berteduh yang lain setelah dipanggil teman lelakinya dan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada kawasan kedai terbabit.

Menurut saksi, Siti Noor Ismail, 40, ketika pasangan itu cuba lari ke tempat lain sebatang pokok Ru patah dan menimpa mangsa.

"Orang di kedai saya lari arah lain, pasangan mangsa itu lari arah berlainan dan tiba-tiba pokok tumbang. Ia turut menimpa bahagian hadapan kedai saya dan mangsa dihempap pokok itu juga menyebabkan kecederaan parah di kepalanya dan meninggal di tempat kejadian," katanya.

Saiful Bahari berkata, mayat Nurul Ain dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Sementara itu, di Pantai Cahaya Bulan sebanyak 70 rumah rosak akibat bumbung tercabut akibat ribut.

Tinjauan Bernama mendapati banyak atap diterbangkan ribut menyebabkan keadaan di dalam rumah rosak besar dan kerosakan serius kepada peralatan elektrik.

Jurucakap polis berkata keadaan yang sama turut berlaku kepada puluhan rumah di Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan Rantau Panjang dan banyak rumah terjejas akibat atap-atap diterbangkan ribut dan ada yang terjejas akibat dihempap pokok.

Tinjauan juga mendapati ramai pengunjung restoran bertempiaran lari apabila perabot seperti kerusi diterbangkan ribut termasuk sampah sarap di jalanan di sekitar bandar Kota Bharu.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Othman berkata pihaknya menerima 45 laporan kes berhubung kejadian ribut itu termasuk pokok tumbang dan kecederaan.

"Kita menerima 11 kes kejadian pokok tumbang di Tumpat, 10 kes di Pengkalan Kubor, tujuh di Pasir Puteh, enam di Kuala Krai, manakala masing-masing empat kes di Ketereh dan Pasir Mas serta tiga kes di Bachok," katanya.

Beliau berkata hanya satu kematian diterima pihaknya iaitu di Bachok itu. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...