Setiap manusia dibekalkan oleh Allah Ta'ala dengan akal dan nafsu. 2 pemberian Allah ini perlu diguna dan dijaga dengan sebaik-baiknya kerana tersalah letak dan tersalah guna akan menyebabkan hidup kita sengsara.
Nafsu ibarat kuda liar yang perlu dilatih dan dijinakkan supaya ianya tidak lari dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang lain. Allah Ta'ala sengaja menjadikan nafsu di dalam diri manusia supaya manusia berusaha untuk mendidik nafsu mereka dengan nilai-nilai keagamaan dan tazkiyah diri dengan amalan-amalan ibadah menghambakan diri kepada Allah Ta'ala.
Nafsu juga boleh disifatkan sebagai laluan syaitan untuk melalai dan menyesatkan manusia. Ini kerana nafsu manusia boleh menjadi tamak haloba, hilang sifat kemanusiaannya hingga sanggup menipu, menyakiti, mencederakan, merogol malah membunuh.
Apabila nafsu sudah menguasai diri ibarat akal yang sudah di bawah pengaruh ganja. Hilang belas kasihan bila sudah gian hingga sanggup berbuat apa sahaja hingga mencederakan orang lain.Apabila nafsu berkuasa, maka peranan akal akan menjadi mengecut ibarat kata-kata Imam Al-Ghazali:"kalau nafsu menguasai akal maka hina manusia itu lebih daripada haiwan dan kalau akal menguasai nafsu maka mulia manusia itu daripada Malaikat."
Apabila nafsu menguasai diri, maka akan keluarlah berbagai cerita yang tidak elok seperti ayah merogol anak, guru mencabul murid, polis memperkosa gadis,anak membunuh ibu, adik beradik berbunuhan dan bermacam-macam lagi cerita buruk lantaran penangan nafsu yang tidak berjaya dikawal manusia.
Perlu diingat bahawa kita sejak kecil lagi sudah dibekalkan dengan nafsu, ada yang positif ada yang negatif. Nafsu perlu dididik sejak dari kecil, ibu bapalah yang patut memainkan peranan tersebut.Imam al-Ghazali pernah menyarankan agar anak-anak tidak dimuakan (manja) dengan kesenangan-kesenangan yang akan menggemukkan hawa nafsu. Sesekali biarlah anak-anak rasa sedikit kesukaran dalam kehidupannya.
Jangan pula berkata:"Biarlah, itukan budak-budak, nanti besar dididiklah". Ini pandangan yang salah, hakikatnya jika kecil payah dididik, bila remaja atau dewasa lagilah sukar. Ini kerana nafsu tua mengikut tuannya, lebih meningkat umur, lebih payah dibentuk dan dididik.
Oleh itu, ibu bapa sepatutnya memainkan peranan mendidik anak-anak menjadi individu muslim yang mantap. Cemerlang di dunia dan di akhirat. Fahamkan anak-anak sejak dari kecil mengenai nafsu jahat dan yang baik.
Biasakan anak-anak dengan tuntutan syariat seperti solat, puasa, bab aurat supaya ia menjadi suatu kebiasaan dan tabiat. Bantulah anak menahan nafsu yang negatif. Ini kerana, kegagalan mendidik nafsu anak-anak sejak dari awal, lahirlah manusia dewasa yang berbangga dengan maksiat dan kemungkaran yang dilakukannya tanpa secebis rasa kekesalan apa yang dilakukannya.
Zaman remaja adalah waktu di mana cabaran hawa nafsunya amat besar. Apatah lagi, dugaan dan godaan sekeliling amat hebat, dengan gadis-gadis yang menawan, pusat hiburan sana-sini, pengedar dadah bertebaran mencari mangsa, kekayaan dan kemewahan dengan cara salah, kecanggihan internet yang tidak bertapis dan macam-macam lagi.
Remaja yang tidak ada perisai iman dalam dirinya akan mudah tewas dan hanyut dengan gelombang nafsunya. Remaja yang berjiwa Islam akan membezakan perkara yang makruf dan yang mungkar.
Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi saw) berkata:"Binasalah orang yang tidak membezakan yang makruf dengan yang mungkar". Jangan nanti pula semuanya disapu, yang baik buat tapi yang mungkar tidak tinggal, jika begitu akan berlaku kecelaruan dalam hidup.
Senjata menghadapi nafsu adalah Islam, iman, akal dan ilmu. Sebagaimana kata-kata seorang cendekiawan Islam:"Beruntunglah orang yang menjadikan akalnya sebagai pemimpin dan nafsu sebagai tawanan, dan rugilah orang yang menjadikan nafsunya sebagai pemimpin dan akalnya sebagai tawanan".
Tepuk dada tanya iman, apakah iman kita mampu mengekang nafsu, atau kita hanya mengikut kata nafsu. Jika selama ini kita sering tewas dengan nafsu dan keinginan yang bertentangan dengan syariat, maka saat untuk berubah ada di depan mata.
Jika berasa sudah selesa dengan maksiat dan sayang meninggalkannya, anda dalam kerugian sebenarnya. Segalanya tidak sukar jika ada keinginan, tanya diri:"nak ke tak nak berubah?". Andalah jawapan segalanya.
No comments:
Post a Comment