Monday, February 15, 2010

APA DOSA BAYI INI???




Bakar bayi dalam tong sampah
Oleh MOHD SABRAN MD SANI
sab@hmetro.com.my
2010/02/13

KUALA KRAI: Menyayat hati apabila seorang bayi lelaki yang baru lahir bukan saja dibuang ke dalam tong sampah, malah mayatnya dibakar sehingga melecur seluruh tubuh.
Bayi malang itu ditemui tiga sekawan yang juga pekerja kontrak pengangkut sampah Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), kira-kira jam 10 pagi semalam.


Mayat bayi itu tergolek keluar dalam longgokan sampah sarap ketika seorang daripada pekerja mengheret tong sampah plastik itu di Jalan Zainal Abidin, di sini.


Pekerja kontrak terbabit, Abdul Rahman Husin, 29, berkata dia tidak menyangka tindakannya mengheret tong sampah menjadi punca penemuan mayat bayi itu.


“Kami bertiga melakukan rutin biasa mengangkut sampah di Jalan Zainal Abidin. Mulanya saya tidak perasan kewujudan mayat bayi itu di dalam tong sampah terbabit.


“Namun, sebaik mengheret tong sampah itu untuk memudahkan sampah dimasukkan ke dalam lori, tiba-tiba satu objek tergolek. Kami terkejut apabila mendapati ia mayat bayi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Dia segera mendapatkan bantuan polis peronda yang kebetulan tidak jauh dari situ.


“Saya memaklumkan penemuan bayi itu yang masih bertali pusat, berkulit cerah dan kaki terputus daripada badan. Beberapa anggota dari Unit Forensik kemudian datang untuk membuat pemeriksaan,” katanya.


Abdul Rahman tidak menolak kejadian berlaku malam kelmarin berikutan seorang rakan memberitahunya, tong sampah berkenaan masih dalam keadaan baik Khamis lalu.


“Saya geram dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab yang sanggup membuang bayi yang cukup sifatnya. Lepas itu, dia dibakar pula,” katanya.


Tinjauan Metro Ahad di kawasan terbabit mendapati, orang ramai mengerumuni kawasan timbunan sampah berkenaan selepas mengetahui penemuan mayat bayi itu.


Anggota polis memasang tali penghalang untuk membolehkan kerja-kerja pemeriksaan ke atas mayat dilakukan dengan teliti tanpa gangguan.


Malah, beberapa anggota polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dilihat sibuk melakukan siasatan.


Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rahim Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi itu.


Katanya, aduan diterima daripada seorang kakitangan MDKK yang menjalankan kerja mengangkut sampah di kawasan terbabit.


“Kita tidak tahu punca sebenar kematian bayi itu sama ada dia meninggal dunia kerana terbakar atau dibunuh terlebih dulu sebelum mayatnya dibuang ke dalam tong.

“Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dan menyebabkan kematian,” katanya.





INNA LILLAHI WAINNA ILAIHI RAJI'UN...

apa dosa bayi ini? hingga dibunuh... dibakar dalam tong sampah... berlaku di Kuala Krai, di negeri kelahiranku sendiri. mengapa tergamak hati orang yang melakukan perbuatan ini. sanggup membakar bayi yang tidak bersalah. apakah orang yang melakukan perbuatan ini waras pemikirannya? atau dah jadi ORANG GILA!!!

fenomena ini rasanya baru berlaku di negara kita. atau kalau ianya pernah berlaku sebelum ini, maka ia hanya baru diketahui olehku. sebelum ini heboh dengan buang bayi. bayi yang baru lahir dibuang dimerata2 tempat. ada yang ditinggalkan di tangga masjid, dalam tong sampah, di hospital tapi tidaklah sampai dibakar. tapi kejadian yang berlaku 2-3 hari lepas benar2 mengejutkan kita.

macamana la agaknya muka ibu dan bapa bayi tu... muka halal atau muka haram!!!! tapi kalau ikut perbuatan dia tu macam muka HARAM... buat kerja HARAM... dapat anak pun dipanggil anak HARAM... lepas tu ditambah lagi dengan perbuatan yang HARAM... aka BAKAR BAYI dalam TONG SAMPAH.

bayi yang tidak berdosa ini menjadi mangsa perlakuan dosa manusia yang tidak berguna. apalah nasib bayi tersebut yang tidak dapat menikmati hidup di dunia ini. walaupun dia bakal ke syurga, tetapi perbuatan orang yang melakukan perbuatan kejam ke atasnya tidak harus dipandang sepi. carilah orang itu... tangkap dan hukum. biar jadi pengajaran kepada orang lain yang sedang melalui jalan2 noda yang sama seperti mereka.

manusia bila sudah dirasuk syaitan dan iblis sanggup melakukan apa saja. perbuatan yang tidak sanggup dilakukan oleh seekor binatang pun, manusia sanggup melakukannya. malulah kepada makhluk yang lain, walaupun kepada seekor binatang yang tidak berakal. BAL HUM ADHOLL... mereka itu lebih sesat dan jahat dari binatang... BENARLAH FIRMAN ALLAH S.W.T.

untuk seterusnya bacalah sendiri berita ini yang dipetik dari harian metro...

1 comment:

  1. Memanglah Ustaz, kesian kat baby tu. Kalau tak nak pun berilah kat orang lain. Ramai lagi orang yang berhati mulia, napalah buat macam tukan?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...