Thursday, October 1, 2009

RIBUT LUAR BIASA DI KELANTAN

Semalam, 30/9/09 (rabu) lebih kurang jam 3.30 petang satu kejadian ribut yang luar biasa berlaku di beberapa daerah di Kelantan termasuk di Kota Bharu. ribut ini telah menyebabkan berlaku banyak kerosakan kepada rumah-rumah kediaman penduduk. apa yang menyedihkan ribut ini juga telah mengorbankan nyawa seorang remaja perempuan di pantai Kemayang, Bachok.

pada masa tu, aku sedang berada di bilik. baru je nak ber'interaksi' dengan laptop ni, tiba2 angin dan hujan datang dengan kuat. aku tengok di luar jendela ribut sangat kuat hinggakan pokok kelapa bergoyang2 macam nak tercabut. pokok2 lain juga bergoyang kuat sampai ada yang tumbang dan patah.

semasa ribut tu, aku dengar bunyi zink macam nak tercabut. aku jengok ke zink atas di tempat jemur pakaian, beberapa keping zink dah tercabut pakunya.... tunggu masa nak diterbangkan je. 'kelekang-kelekang' bunyi kuat zink tu berlaga dengan kayu pemegang. aku nak masuk dekat takut zink tu tercabut kena atas aku tak pasal2 masuk sepital.

setengah jam lepas tu, mak sedara aku(yam) datang bagitahu anak dia Marini luka di kepala kena "perabong" zink. aku cepat2 dengan pakai kain sarung terus bawa Marini ke klinik daerah Badang. masa sampai tu ada dah beberapa orang yang cedera akibat ribut kuat ni termasuk seorang perempuan yang tengah mengandung ditimpa buah kelapa atas kepala. dia terus dibawa ke hospital besar. sepupu aku ni nasib baik luka ringan je... H.A. sapu ubat di kepala dan bagi suntikan je... lepas tu terus boleh balik.

inilah pertama kali aku melihat ribut yang kuat di Kelantan ni... kat bawah ni aku 'paste'kan bersama laporan dari berita harian pasal ribut ni...

Remaja perempuan maut, 6 jajahan dilanda ribut luar biasa

KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan maut ditimpa pokok manakala ratusan rumah rosak teruk akibat dilanda ribut luar biasa dan hujan lebat hari ini berikutan hampirnya musim tengkujuh yang melibatkan tujuh jajahan di negeri ini yang berdekatan kawasan pantai.

Dalam kejadian selama hampir sejam itu, puluhan kereta rosak dan kemek akibat dahan-dahan pokok yang patah, barang-barangan ringan berterbangan termasuk kerusi dan tong sampah serta papan tanda jalan runtuh di sekitar bandar Kota Bharu, Pengkalan Kubor, Pasir Puteh, Kuala Krai, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok.

Kejadian ganjil yang pertama pada tahun ini, turut mengorbankan seorang remaja perempuan, Nurul Ain Ibrahim, 19, ditimpa sebatang pokok yang patah secara tiba-tiba ketika ia cuba mencari tempat berteduh daripada ribut di Pantai Kemayang, Bachok.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Saiful Bahari Mohd Nor berkata, mangsa berada di dalam kedai makan dan cuba untuk melarikan diri apabila ribut kuat melanda.

"Ketika kejadian kira-kira 3.40 petang tadi, mangsa sedang berselindung bersama teman lelakinya, Zamri Mustafa, 24, di sebuah kedai makan di pantai terbabit sebelum tiba-tiba ribut luar biasa melanda kawasan itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Saiful Bahari berkata semua pelanggan di restoran itu lari bertempiaran menyelamatkan diri jauh dari kawasan kedai makan itu termasuk teman lelaki mangsa, bagaimanapun mangsa hanya lari dan berteduh berhampiran kawasan kedai terbabit.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya berlari mencari tempat berteduh yang lain setelah dipanggil teman lelakinya dan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada kawasan kedai terbabit.

Menurut saksi, Siti Noor Ismail, 40, ketika pasangan itu cuba lari ke tempat lain sebatang pokok Ru patah dan menimpa mangsa.

"Orang di kedai saya lari arah lain, pasangan mangsa itu lari arah berlainan dan tiba-tiba pokok tumbang. Ia turut menimpa bahagian hadapan kedai saya dan mangsa dihempap pokok itu juga menyebabkan kecederaan parah di kepalanya dan meninggal di tempat kejadian," katanya.

Saiful Bahari berkata, mayat Nurul Ain dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Sementara itu, di Pantai Cahaya Bulan sebanyak 70 rumah rosak akibat bumbung tercabut akibat ribut.

Tinjauan Bernama mendapati banyak atap diterbangkan ribut menyebabkan keadaan di dalam rumah rosak besar dan kerosakan serius kepada peralatan elektrik.

Jurucakap polis berkata keadaan yang sama turut berlaku kepada puluhan rumah di Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan Rantau Panjang dan banyak rumah terjejas akibat atap-atap diterbangkan ribut dan ada yang terjejas akibat dihempap pokok.

Tinjauan juga mendapati ramai pengunjung restoran bertempiaran lari apabila perabot seperti kerusi diterbangkan ribut termasuk sampah sarap di jalanan di sekitar bandar Kota Bharu.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Othman berkata pihaknya menerima 45 laporan kes berhubung kejadian ribut itu termasuk pokok tumbang dan kecederaan.

"Kita menerima 11 kes kejadian pokok tumbang di Tumpat, 10 kes di Pengkalan Kubor, tujuh di Pasir Puteh, enam di Kuala Krai, manakala masing-masing empat kes di Ketereh dan Pasir Mas serta tiga kes di Bachok," katanya.

Beliau berkata hanya satu kematian diterima pihaknya iaitu di Bachok itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...